Monday, January 30, 2012

Amalan Gotong Royong Dan Menjaga Kebersihan

Gotong Royong Januari 2012 - Ahad , 29 Januari 2012.

Suatu amalan yang menjadi kebanggaan masyarakat kita ketika dahulu dan jarang-jarang di lakukan ketika ini, malah sudah semakin terhapus adalah semangat gotong-royong. Alangkah baiknya di hidupkan kembali aktiviti ini di premis Kraftangan Malaysia . Sama-sama bergotong-royong membersihkan persekitaran rumah , pejabat, , tempat ibadat, tempat riadah juga tempat-tempat awam. Kita dapat bersama-sama memainkan peranan dan ikutan serta bekerjasama menjalankan amalan ini.

Selain dari itu, amalan ini dapat mengeratkan hubungan silaturrahim sesama kita dan masyarakat amnya. Ini bertepatan dengan roh Islam seperti firman Allah Swt di dalam Surah Al-Maa'idah ayat 2 yang bermaksud :

" Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan melakukan kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan ".

Semangat gotong-royong dan bekerjasama perlu wujud dalam budaya kita semua, malah menjadi sebahagian dari kehidupan di mana sahaja premis kita berada, walau apapun peranan kita dalam masyarakat sebagai anak, ibu bapa, kakitangan kraftangan, peserta skim inkubator, tukang kebun,pengawal keselamatan dan sebagainya. Semangat ini hendaklah di suburkan. Kesedaran menjaga kebersihan boleh menjamin diri, masyarakat dan negara beroleh kesejahteraan dan kemakmuran.